Jumaat, 27 September 2013

Kecil Tapi Bermakna # Pertama

Sepasang Sayap Untuk Terbang


Adakalanya, bila terlalu asyik dengan yang di atas, kita terlupa untuk melihat yang di bawah. Sedang yang di bawah itu, sebenarnya ada sesuatu yang kecil, sedang menanti untuk memberi kita sebuah makna yang sangat universal, bukan sahaja buat diri sendiri, malahan lebih lagi, untuk kehidupan ini! 

 Terlalu leka mengagumi kuntuman-kuntuman yang berkembang di atas,  tanpa disedari, di tunjangnya, ada yang menumpang teduh, demi untuk sebuah kelangsungan hidup. Keindahan tercipta, sepasang sayap untuk kembara, ternyata, kecil tapi bermakna! Ia pengalaman rohani yang terlalu bermakna buat kami berdua, kami sama-sama berjuang, berusaha untuk terus hidup di alam ini, saling memberi, tidak tahu apakah yang akan terjadi keesokkan harinya, namun perjalanan tetap harus berlangsung, sehinggallah akhirnya kami punya sepasang sayap untuk terbang...

Kecil, tapi bermakna !



video


Terbanglah wahai rama-rama.....


Nota

Alhamdulillah, minggu ini  genap 57 tahun usia ibunda tercinta, moga ibu akan sentiasa berada dalam rahmah Ilahi, dipermudahkan segala urusannya dunia dan akhirat. Dan sempena dengan itu, dan juga setelah lama saya menjelajah dari blog ke blog, mencari beberapa idea untuk saya menjadi lebih efektif dalam menulis. Bermula daripada hari ini, setiap hari Jumaat, saya akan cuba menulis apa sahaja cerita di bawah tajuk Kecil Tapi Bermakna. Kerana, terlalu banyak sebenarnya, di sekeliling kita, setiap hari, kita bertemu denngan perkara-perkara kecil, namun, sebenarnya terlalu besar maknanya dalam hidup ini. Dan inilah permulaannya, yang kecil dari saya...Sepasang Sayap Untuk Terbang.

Berminat untuk menyertai sebahagian dari komuniti Kecil Tapi Bermakna ini?

Setiap hari Jumaat, sama ada anda di blog, mahupun di Facebook, kongsikanlah cerita
( tidak semestinya bergambar) tentang sesuatu perkara yang Kecil Tapi Bermakna, mulakan dengan tajuk Kecil Tapi Bermakna # Pertama, dan ceritakan dengan ringkas apakah perkara itu, dan jika boleh berikan pengajaran yang anda dapat daripada sesuatu yang Kecil Tapi Bermakna itu, manakala untuk kisah Kecil Tapi Bermakna pada Jumaat minggu hadapan, tajuknya, Kecil Tapi Bermakna # Kedua, dan begitulah seterusnya, sehingga hujung tahun ini, anda akan dapat lihat, betapa banyaknya perkara-perkara Kecil Tapi Bermakna dalam hidup anda, dan anda pasti akan lebih selalu menghargainya!

Besarlah harapan saya agar sahabat-sahabat  yang lain dapat turut serta, dan semoga inisiatif yang kecil ini akan menjadi satu permulaan yang bermakna untuk kita berblog, dengan matlamat ke arah memberikan nilai yang lebih baik dalam kehidupan kita semua di muka bumi ini. Terpulang kepada sahabat sekalian, apapun bentuk serta konsepnyanya kisah Kecil Tapi Bermakna itu, akhirnya, kita sendirilah yang akan menafsirnya. Ia mungkin di jumpa di laman rumah, di tepi jalan sewaktu ingin pergi dan pulang dari kerja, ia mungkin ada di dalam pinggan makan kita untuk waktu rehat, ia mungkin terjumpa di mana sahaja, terserah, asalkan sahaja, ianya Kecil Tapi Bermakna. Paling penting, ia sesuatu yang mampu memberikan impak, mampu memberikan kesan yang bermakna, untuk kita semua renungi.

Dan jangan bimbang, seandainya, anda tidak mampu untuk menulis pada setiap Jumaat, anda boleh skip, dan buatnya pada hari lain, atau jika kisah itu terlalu panjang, ataupun pendek, ataupun hanya ada  sekeping gambar yang mampu menterjemahkan kisah anda Kecil Tapi Bermakna itu, itu pun masih tetap bermakna...Silakanlah menulis kisah itu, manfaatnya sentiasa ada..

Mudah bukan? Untuk yang di Facebook, cuma share/kongsi posting ini, dan bolehlah mula menulis kisah Kecil Tapi Bermakna anda sekarang. Manakala untuk rakan-rakan di blog, bolehlah tinggallkan link posting tersebut di ruangan komen di posting saya ini, untuk sama-sama kita baca dan tinggalkan komen sebagai sokongan buat yang lain. Selamat menulis, ianya mungkin kecil, tapi tetap bermakna!








3 ulasan :

mikamusz berkata...

idea bernas Yana.... hope nanti dapat share cerita dari ramai orang

mama_onie berkata...

Betul betul kecil tapi bermakna!

yana berkata...

Thanks Musz..Zam..apapun ia..tetap menjadi sesuatu yang bermakna!