Sabtu, 5 Oktober 2013

Kecil Tapi Bermakna # Kedua

Sayangi Bumi Kita


Hari ini,minggu kedua penulisan Kecil Tapi Bermakna  bertemu dengan para pembaca. Terima kasih buat semua yang sudi ikut serta memberikan pelbagai idea yang kelihatan kecil, tetapi sebenarnya amat bermakna! Maaf, tak dapat menerbitkan siri kedua ini pada hari Jumaat, iaitu semalam, seminggu sebenarnya tidak sihat, dan baru hari ini ada upaya berdepan dengan dunia maya dan mengetik keyboard berkongsi sebuah lagi kisah yang Kecil Tapi Bermakna!

Sedar atau tidak, dunia hari ini sebenarnya berdepan dengan pelbagai isu persekitaran, dan ia termasuklah pencemaran sama ada, air, udara dan bermacam-macam lagi. Kesemua ini sebenarnya akan menyumbang kepada isu yang lebih besar serta kesan yang lebih dasyat, iaitu pemanasan global. Tanpa kita sedar, ataupun, sebenarnya sedar cuma pilihan yang ada amat terhad (sebagaimana saya sendiri), kita, insan yang saban hari berada di dalam dunia kepenggunaan atau consumerism, adalah sebahagian daripada penyumbang utama kepada permasalahan alam masa kini.

Kita tiada pilihan, kebanyakan produk di pasaran, terutama sekali di negara ini masih bergantung kepada penggunaan plastik, yang hampir kesemuanya tidak bersifat biodegradable. Contoh terdekat, di dalam bilik air masing-masing, produk yang memerlukan kita melakukan pembeliannya sebulan dua hingga ke tiga kali, seperti ubat gigi dan segala jenis pencuci, dari pencuci muka, badan, rambut, dan juga pencuci lantai. Kesemua produk ini menggunakan plastik yang kebanyakannya akan terus dibuang apabila kosong, mungkin ada yang rajin untuk mengasingkannya agar dapat di hantar ke pusat kitar semula, tetapi memandangkan bilangan tong kitar semula yang ada di negara ini terlalu sedikit, dan tidak dapat menampung keperluan yang ada, sementelah masih ramai pula yang masih lagi kurang ilmunya akan kepentingan kitar semula ini. Solusi terakhir, bungkus di dalam plastik hitam, buang, habis cerita!

 Sampainya di pusat pengumpulan sampah, mungkin ada yang canggih sedikit, di sana, di asingkan yang mana boleh di kitar semula, yang mana boleh di bakar atau di tanam, tetapi, selalunya, di kebanyakan tempat kesemua sampah-sampah ini gagal untuk diasingkan, maka, plastik-plastik ini akan terkubur bersama-sama dengan bahan buangan yang lain di dalam bumi. Bersedia untuk menghasilkan pelbagai tindakbalas kimia,sehingga, bumi saban hari akan menjadi panas, panas, dan panas untuk generasi akan datang.

Baiklah, panjang pula pengenalannya, terus kepada apakah langkah yang boleh kita lakukan. Sebenarnya, idea ini datang daripada seseorang, yang pada asalnya kelihatan agak janggal bagi saya, dan mungkin bagi yang lain. Tetapi, lama- kelamaan, ia mula menjadi ikutan saya, sehingga akhirnya barulah di sedari, Hei! Ini mungkin usaha yang kecil, tetapi besar maknanya.

Apa yang kita semua lakukan apabila ubat gigi telah habis? Kita akan picit sehabis mungkin, kemudian terus menekan-nekannya sehinggalah berjaya paste terakhir di dalamnya di keluarkan, sebelum akhirnya, kita akan menggantikannya dengan ubat gigi yang baru.


Seseorang menggunting ubat gigi yang kelihatannya sudah boleh di tukar ini.



Dan cuba lihat di dalamnya, masih ada banyak lagi baki paste, dan jika digunakan dengan berhemah, maka, ia dapat bertahan untuk tempoh seminggu lagi!
(Atas penggunaan masing-masing)

Diberi pengiraan yang ringkas, jika sebelum ini, sebulan kita menggunakan 2-3 ubat gigi bersaiz kecil untuk kegunaan keluarga, ataupun 1-2 ubat gigi bersaiz besar untuk sesetengah keluarga yang lain, maka, dengan usaha yang kecil ini, kita sebenarnya mampu untuk mengurangkan 1 ataupun 1/2 pembelian ubat gigi bagi setiap bulan. JIka dihitung untuk setahun, kita berjaya mengurangkan pembelian sebanyak 12 ubat gigi kecil ataupun 6 ubat gigi besar!

Ia mungkin berita sedih buat pengeluar ubat gigi, tetapi percayalah, ia satu berita gembira buat bumi tidak terkecuali juga poket kita ini! 

Kecil, tapi bermakna bukan!

Berminat untuk menyertai sebahagian dari komuniti Kecil Tapi Bermakna ini?

Setiap hari Jumaat, sama ada anda di blog, mahupun di Facebook, kongsikanlah cerita
( tidak semestinya bergambar) tentang sesuatu perkara yang Kecil Tapi Bermakna, mulakan dengan tajuk Kecil Tapi Bermakna # Pertama, dan ceritakan dengan ringkas apakah perkara itu, dan jika boleh berikan pengajaran yang anda dapat daripada sesuatu yang Kecil Tapi Bermakna itu, manakala untuk kisah Kecil Tapi Bermakna pada Jumaat minggu hadapan, tajuknya, Kecil Tapi Bermakna # Kedua, dan begitulah seterusnya, sehingga hujung tahun ini, anda akan dapat lihat, betapa banyaknya perkara-perkara Kecil Tapi Bermakna dalam hidup anda, dan anda pasti akan lebih selalu menghargainya!

Besarlah harapan saya agar sahabat-sahabat  yang lain dapat turut serta, dan semoga inisiatif yang kecil ini akan menjadi satu permulaan yang bermakna untuk kita berblog, dengan matlamat ke arah memberikan nilai yang lebih baik dalam kehidupan kita semua di muka bumi ini. Terpulang kepada sahabat sekalian, apapun bentuk serta konsepnyanya kisah Kecil Tapi Bermakna itu, akhirnya, kita sendirilah yang akan menafsirnya. Ia mungkin di jumpa di laman rumah, di tepi jalan sewaktu ingin pergi dan pulang dari kerja, ia mungkin ada di dalam pinggan makan kita untuk waktu rehat, ia mungkin terjumpa di mana sahaja, terserah, asalkan sahaja, ianya Kecil Tapi Bermakna. Paling penting, ia sesuatu yang mampu memberikan impak, mampu memberikan kesan yang bermakna, untuk kita semua renungi.

Dan jangan bimbang, seandainya, anda tidak mampu untuk menulis pada setiap Jumaat, anda boleh skip, dan buatnya pada hari lain, atau jika kisah itu terlalu panjang, ataupun pendek, ataupun hanya ada  sekeping gambar yang mampu menterjemahkan kisah anda Kecil Tapi Bermakna itu, itu pun masih tetap bermakna...Silakanlah menulis kisah itu, manfaatnya sentiasa ada..

Mudah bukan? Untuk yang di Facebook, cuma share/kongsi posting ini, dan bolehlah mula menulis kisah Kecil Tapi Bermakna anda sekarang. Manakala untuk rakan-rakan di blog, bolehlah tinggallkan link posting tersebut di ruangan komen di posting saya ini, untuk sama-sama kita baca dan tinggalkan komen sebagai sokongan buat yang lain. Selamat menulis, ianya mungkin kecil, tapi tetap bermakna!














2 ulasan :

m.u.l.a.n berkata...

great job... memang sepatutnya dijadikan habit begini.. terima kasih sbb mengingatkan...

yana berkata...

Sama2..kecil,tapi bermakna!
Terima kasih juga sudi singgah sini Mulan!