Jumaat, 11 Oktober 2013

Kecil Tapi Bermakna # Ketiga

Memberi, kelihatan mudah, tapi, ada masanya, kita terlalu terikat dengan istilah kesempurnaan, maka, setiap kali ingin memberi, telah di set di dalam minda, perlulah yang terbaik, belanja perlu lebih, masa dan tenaga harus sepenuhnya tercurah, agar yang menerima dapat merasai pemberian itu  dengan semaksima mungkin.

Namun tidak semua mampu melakukan perkara tersebut, sedangkan, memberi, ataupun  act of giving, adalah satu tuntutan yang perlu sentiasa berada dalam masyarakat hari ini. Kesannya begitu luas, bukan sahaja mampu membahagiakan penerimanya, malahan, persahabatan serta persaudaraan akan sentiasa tetap terus terjalin, malah akan semakin berkembang mekar, sehingga seterusnya, keharmonian serta kerukunan itu akan wujud di dalam sebuah komuniti yang saling memberi.

Tinggal di kampung, walau sukar pada mulanya, namun lama-kelamaan Yana belajar satu perkara, kebanyakan masyarakat di kampung suka memberi, dan mereka memberi sesuatu yang kegunaannya bukan sahaja buat Yana dan keluarga, malahan, pemberian mereka itu akhirnya akan kami bahagi-bahagikan pula buat jiran di sekeliling perumahan kami ini. Betapa jauhnya kebaikan yang pada asalnya nampak kecil itu telah pergi, dan kemudiannya, ia bertapak ke jajahan lain, memberi dan terus memberi, tanpa menunggu apakah yang bakal diterima mereka. 

Bermula dengan sepohon lada yang Yana terima dari arwah M.Ngoh, kemudian kami semai menjadi 2-3 pohon lada, dan Yana pesan pada jiran tetangga jika mahu ambil. Maka, semenjak dari itu, Yana belajar, bahawa, apa sahaja yang ada manfaatnya, boleh kita kongsikan bersama, dan sentiasa belajar untuk memberi dan terus memberi, ia mungkin kelihatannya kecil, namun, buat yang menerimanya, sebenarnya, ia sangat bermakna!

Ya, pohon lada mungkin sukar bagi sesetengah kita, namun, ada beberapa tanaman ini sebenarnya amat mudah hidup, dan, seterusnya mudah juga untuk mengeluarkan hasil! Antaranya, serai, betik, dan juga pohon kari. Inilah antara tanaman yang di tanam kami, dan ketiga-tiganya kami letakkan di kawasan luar rumah, dan jiran-jiran sekalian bebas untuk mengambilnya. Dan seandainya ada beberapa pokok kari yang mengeluarkan anak, kami semai didalam bekas-bekas kecil, dan andai ada yang ingin menanamnya di rumah, silakan.

Buat yang membaca artikel ini, mulai sekarang, andai ada lebihan biji betik, cili padi yang sudah kering di dalam peti sejuk, atau apa sahaja tanaman bermanfaat yang mudah hidup dengan penjagaan yang minima, taburlah dan semailah ia dengan penuh kasih sayang di dalam bekas(jika boleh tanah yang subur),  dan letakkanlah di luar rumah (cubalah mencari ruang yang ada) dan berikanlah buat sesiapa yang ingin menggunakannya. Inisiatif ini, kelihatannya kecil, namun ia sangat bermakna! Bukan sahaja dari aspek pemberian, malahan, ruang yang ada di rumah, yang sebelum ini terbiar, dapat kita gunakan, belanja dapur mungkin akan berkurang sedikit, dan kita juga sebenarnya sudah menjalankan aktiviti yang sihat buat tubuh badan ini.

Benar bukan, ia kecil, tapi sebenarnya bermakna!


Anak pohon kari yang tumbuh dengan banyaknya di laman kami, Incik Abang pindahkan ke dalam bekas.


Tanah terbiar di depan rumah, kini menjadi penghuni serai dan betik!

Tiada ulasan :